Wednesday, 17 December 2014

Bismillahirahmanirahim
            Assalamualaikum dan selamat sejahtera kepada semua pembaca blog sekalian.  Penulisan kali ini bertujuan untuk menceritakan sedikit sebanyak mengenai salah satu kelas saya iaitu kelas Pengantar Penulisan.  Subjek ini merupakan salah satu subjek yang tidak memerlukan peperiksaan akhir. Markah keseluruhan subjek ini bergantung sepenuhnya kepada tugasan yang diberikan oleh pensyarah di dalam kelas. Pada mulanya, saya dan rakan-rakan memilih untuk mengikuti subjek ini kerana tidak perlu mengambil peperiksaan akhir. Ternyata pilihan kami tidak salah kerana mengikuti kelas subjek ini memberikan banyak manfaat kepada kami semua.
            Alhamdulillah kami dipertemukan dengan pensyarah yang baik hati iaitu Dr. Rohizah bt Halim. Sepanjang kelas yang telah dijalankan, beliau bertungkus lumus mengajar dan menerangkan kepada kami mengenai subjek ini. Pengalaman yang beliau ada merupakan salah satu kelebihan kepada kami kerana kami berkesempatan menanyakan banyak hal kepadanya. Objektif utama subjek ini adalah untuk menerangkan cara penulisan yang baik. Sebagai seorang pelajar universiti, penting untuk mengetahui cara penulisan yang baik. Hal ini kerana, lumrah pelajar universiti diberikan tugasan oleh pensyarah dan tugasan itu perlu dilakukan dengan sebaik mungkin kerana melibatkan markah. Subjek ini sangat-sangat membantu terutamanya kepada pelajar-pelajar semester satu seperti saya yang baru memasuki alam di menara gading. Saya dapat mengetahui tentang cara untuk menulis dengan  baik. Antara maklumat yang paling berguna yang saya dapati ialah cara penulisan tugasan mengikut system gaya APA.
            Seperti yang diketahui, gaya APA  merupakan gaya utama yang digunakan dalam penulisan tugasan di universiti. Sebagai pelajar semester satu saya langsung tidak mengetahui tentang sistem ini. Namun Dr Rohizah berusaha menerangkan kepada kami sehingga kami dapat memahami sistem ini. Selain daripada itu, latihan-latihan yang diberikan juga dapat membantu kami dalam memahami subjek ini. Selain daripada penulisan gaya APA, terdapat banyak lagi yang kami perolehi daripada kelas subjek Pengantar Penulisan ini. Semua yang kami perolehi membantu kami dalam mnyediakan tugasan yang terbaik.
            Seterusnya, melalui subjek ini kami diberikan dua tugasan iaitu tugasan berkumpulan dan tugasan individu. Kami diarahkan untuk menulis tentang tokoh untuk tugasan berkumpulan manakala tugasan individu pula kami diarahkan untuk menulis penulisan mengenai patriotisme. Alhamdulillah sewaktu tugasan dilakukan, Dr Rohizah sangat-sangat membantu memberikan pendapat sehingga kami berjaya menyelesaikan tugasan-tugasan tersebut.




No comments:

Post a Comment